Halaman

Selasa, 27 Mei 2014

MAK ! TUHAN TAHU APA YANG AKU RASA ….

Dalam kehidupan kita banyak perkara yang kita tak pernah jangka boleh berlaku. Semua itu seiring dengan ketetapan Azali yang menjadi rahsia kehidupan kita. Cuma tuhan saja yang Maha Mengetahui. Kita hanya melangkah meniti jalinan taqdir Ilahi.

Kali ini mari kita kongsi perasaan kita dengan seorang lelaki yang pernah melalui kekecewaannya terhadap kedua ibu bapanya.Lelaki ini saya namakan sebagai S. Kisahnya amat menyentuh hati dan S menceritakan dengan kesedihan dan tangisan.

Sebagai pasangan yang bercinta segala-galanya amat indah bagi mereka. Ucapan kasih sayang sering mengisi kemesraan pasangan ini.Tapi siapa sangka. Kisah cinta yang indah dalam kehidupan ini bukan milik mutlak kita. Akhirnya pasangan ini bercerai dengan penuh kebencian dan dendam.

S adalah anak hasil perkahwinan pasangan ini. Dia pun tak pernah ingin menjadi anak mangsa penceraian yang telah menimbulkan perbagai duka dalam hidupnya. Namun dia redha dengan ketentuan ini. Hatinya amat kecewa tapi apakan daya….

Selepas bercerai S telah dipelihara oleh datuk dan nenek sebelah ayahnya. Bapanya kahwin lain dan mempunyai 6 orang anak. Manakala ibunya pula berkahwin dengan orang Kedah dan mempunyai 2 orang anak. S terpinggir dan tak pernah dipedulikan oleh ibu dan bapanya.

Bapanya amat mengambil berat dengan isteri barunya dan anak-anaknya (saudara tiri S). S langsung dipinggirkan. Bapanya tidak menyukainya. Manakala ibunya sibuk dengan suami barunya. Diri S bagaikan dilupakan.

Tapi S bernasib baik.Datuk dan neneknya sangat sayang kepadanya.Merekalah pengganti ibu dan ayah S. Merekala yang bersusah payah menjaga sakit demam S. Bahkan mereka sering berbimbang dengan nasib atau masa depan S. Mereka tahu sikap ayah S yang tak menghiraukan langsung S.Mereka merancang sesuatu bagi menjamin masa depan S.

Mereka telah menghadiahkan sebahagian besar harta mereka kepada S. Hingga ayah S sendiri tidak puas hati. Bahkan ayah S menghapuskan hak faraid S dalam hartanya. Tapi S redha. S menjaga kembali datuk nenek S setelah dia semakin dewasa dan pandai berdikari. Sikap S yang sangat-sangat mengambil berat terhadap datuk neneknya menyentuh bapa saudara S yang bongsu ( adik ayahnya). Dia dengan rela hati menjual tanah miliknya kepada S dengan nilai yang murah dan kini tanah itu bernilai berjuta-juta ringgit.

Bila ditanya orang mengapa bapa saudara S menjual tanah kepada S dengan begitu murah, jawapannya sangatlah mudah.

“Aku sendiri tak dapa jaga ibu bapaku seperti S”.

Inilah pulak tuah dan rezeki S. Ibu bapa tak ambil peduli, datuk dan nenek serta bapa saudara pula sangat sayang.S sangat bersyukur dengan limpah kurnia tuhan ini. Dia sendiri kini hidup dalam keadaan yang selesa dan sentiasa prihatin dengan nasib orang yang susah

Satu hari, dia meluahkan rasa kecewanya tentang sikap kedua ibubapanya kepada saya. Dengan linangan airmata dia menceritakan bagaimana payahnya dia cuba nak mendekatkan kembali hubungan dengan ibunya sendiri. Dia tetap disambut dingin dan dia sangat kecewa dengan keadaan ini.

Bahkan pernah dia katakana begini kepada ibunya sendiri,

“Mak, kalau mak tak sayangkan S pun tak apa. S rasa kalau S jatuh mati di jalan tak siapa nak menangis. Tapi cukuplah mak terima S untuk ziarah mak selalu.S pun tak tahu mengapa S jadi begini.”

Mak S hanya diam tanpa sebarang respon. S sendiri tak mengerti mengapa maknya begitu.Begitu juga ayahnya. Bahkan ada ketika sampai tak mengaku dia sebagai anak. Tapi S tetap redha dengan taqdir ini.

S menceritakan dengan penuh tangisan rindu seorang anak. Segala punca menjadi rahsia. Hanya tuhan Maha Mengetahui. Mengapa? Kenapa? Dan Bagaimana?

Akhir bicara S mengatakan,

“Walau apa pun yang berlaku.Kesedihan dan kedukaan ku ini hanya Allah SWT yang tahu.Cukuplah diriku dan tuhan yang tahu kedukaan ini.Allah Maha Adil.”

Saya terdiam.

DERITA HATI SESEORANG HANYA EMPUNYA DIRI SAHAJA YANG MENGERTI
KITA SEKADAR MEMBERI PANDUAN DAN PANDANGAN
MUNGKIN SEDIKIT MEMAHAMI JIKA PERNAH MELALUI DERITA ITU
ATAU MUNGKIN NASIHAT KITA MIRIP SEKADAR TEORI SEMATA-MATA


AKUILAH ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA BIJAKSANA