Halaman

Selasa, 27 Mei 2014

BUKAN SEMUA IMPIAN JADI KENYATAAN

Selagi bernama manusia, pasti takkan kering dengan impian atau cita-cita.Impian tampak indah,megah dan gemilang.Seolah-olah akan meletakkan seseorang ke tahap kebahagiaan atau kepuasan.Memang digalakkan seseorang itu menaruh impian-impian yang baik.Ini akan mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang diimpikan.

Namun semua impian itu bukan boleh dikuasai oleh makhluk kerana rantaian taqdir tetap di dalam kekusaan Allah SWT.Tapi manusia tak boleh meninggalkan impian yang baik-baik dalam hidupnya. Tanpa impian hidupnya pasti tiada makna

MANUSIA MERANCANG ALLAH MENENTUKAN

Bukanlah perancangan kita itu yang terbaik sebaliknya perancangan Allah lah yang penuh rahsia dan teristimewa.

Manusia mempunyai impian dan cita-cita tertentu.Di antaranya nak kaya, alim, berkedudukan dll.Namun kebanyakan impian itu kadang-kadang bagai mimpi-mimpi kosong jika tidak tercapai.Kadang-kadang hati sedikit kecewa bila impian itu dirobek oleh bala bencana.Sabar… sabar…

Kali ini saya nak paparkan kisah impian seorang lelaki yang tak menjadi kenyataan. Tapi bagi saya itulah kejayaan yang paling hebat untuk dirinya. Berjaya melalui kedukaan itu.

Z seorang lelaki tampan. Penuh gaya persis bintang filem rupa dan perawakannya. Dia juga mempunyai kelulusan yang baik. Graduan dari sebuah university tempatan. Dia juga menjawat jawatan yang baik. Iaitu pensyarah kolej swasta dan berniaga sambilan bagi menambah pendapatan.

Tapi siapa sangka. Dikala dia sedang mengimpikan untuk bernikah dengan seorang wanita yang dicintainya. Saat cuba merealisasikan impiannya untuk mendapatkan kejayaan lebih cemerlang dalam pelajaran serta beberapa impian lagi. Tiba-tiba dia jatuh sakit. Amat luar biasa.

Asalnya demam. Kemudian anggotanya semakin lemah.Kemudian tubuhnya semakin menyusut. Badan pun tinggal rangka je lagi. Rawatan di hospital tidak menemui jawapan. Sementara dengan rawatan tradisional pun tiada keputusan. Semakin hari semakin derita.

Kerana tak mampu berdiri lama dan lemah akhirnya dia letak jawatan. Dia terpaksa memutuskan hubungan dengan kekasih hati dengan keadaan terpaksa. Dirinya bangkai bernyawa. Punca penyakit tidak juga ditemui.

Saya tanya kepada Z bagaimana dia melalui kedukaan ini. Dia menyatakan bahawa pada permulaan dia memang kecewa dan amat sedih dengan keadaan dirinya. Namun lama kelamaan dia belajar menerima ketentuan taqdir ini.

Sedang derita itu ibunya meninggal dunia. Selama ini ibulah tempat dia mengadu dan  berkongsi duka. Namun apa daya. Maut menjelma bukan di duga. Tidak lama selepas itu ayahnya pula menderita sakit. Sakit yang hampir sama seperti dia. Mujurlah ada adik beradiknya sudi membantu.

Ketika berbicara dengan Z dia memberi beberapa pandangan yang bernas. Di antaranya:

1.      Bila diduga tuhan, masalah atau sakit itu bukan semestinya kita mengerti atau tahu. Yang nyata semua itu ujian tuhan
2.      Memahami kedukaan lebih sukar daripada meraikan kesukaan di atas kejayaan. Tapi ramai yang tertipu dengan keseronokan dunawi
3.      Patutlah orang yang tak pernah sakit atau susah sombong.Rupanya ada duka yang orang takut berjangkit.
4.      Bukan semua impian jadi nyata.Kerana yang nyata hidup ini penuh impian bagai mimpi rupanya.

Z melalui kedukaan ini dengan airmata, kecewa dan duka. Kemudian dia terpaksa melalui dengan cekal dan harapan. Kesabaran menjadi rahsia mengukuh jiwanya.Impian yang hilang tak perlu diratapi. Masih ada banyak lagi impian dalam hati Z.Tapi dia pasrah dan redha.

Adakah kita benar-benar dapat memahami duka Z? Pasti tidak. Mungkin simpati lebih condong di jiwa kita. Yang melalui lebih merasai. Kenangkanlah insan-insan yang telah hancur impiannya di tengah jalan.Mungkin ada di sekeliling kita.Cuma kita tak sedar. Fahami hati mereka sekadar yang mampu. Ada iktibar yang mungkin bermakna.

HIDUP IBARAT MIMPI. MATI MENYEDARKAN DARI MIMPI KEHIDUPAN
MIMPI INDAH IDAMAN HATI DI HARAP JADI NYATA

NAMUN SIAPA BISA MENOLAK KETENTUAN ILAHI SEJAK AZALI