Kehidupan berumahtangga pasti
melalui pelbagai dugaan dan rintangan. Segala yang dilalui itu perlukan
ketabahan dan kecekalan serta kerjasama di antara suami isteri. Kepercayaan dan
kasih sayang amat diperlukan ketika melalui saat-saat genting dalam kemuncak permasalahan. Kadangkala masalah hidup
ini bukan pasti ada penyelesaian sebaliknya redha dan melalui duka itulah
penyelesaiannya.
Kisah kali ini saya ambil dari
pengalaman sepasang suami isteri yang melalui suka duka dalam kehidupan mereka.
Mereka adalah ahli kelas KBNM. Mereka merestui untuk saya paparkan kisah mereka
ini di dalam blog saya. Mudah-mudahan menjadi iktibar kepada kita semua.
Perkahwinan Kak Ta dan Abang Za
diatur oleh keluarga. Abang Za tak pernah kenal atau berjumpa sebelum bernikah
dengan Kak Ta. Namun dengan berkat menerima dan mendapat restu ibu bapa maka
perkahwinan mereka mendapat kebahagiaan dan kasih sayang.
Satu hari Abang Za jatuh di bilik
air dan pengsan. Kak Ta menyedari keadaan tersebut dan meminta pertolongan jiran tetangga. Mereka
membawa Abang Za ke hospital. Sesampai di hospital, Kak Ta di maklumkan bahawa
Abang Za mengalami pendarahan di dalam kepala. Menurut doktor mungkin beberapa
urat di dalam kepala Abang Za telah pecah.
Kak Ta amat sedih dan berduka.
Mereka hanya peniaga kecil dan pasti tak mampu menampung kos perubatan Abang Za
jika di bedah. Kak Ta pasrah dengan ketentuan itu. Sebenarnya Kak Ta
sendiri sakit. Sakit gangguan jin. Dia
sendiri kerap dirasuk jin dan pernah tak sedar diri berjalan berbatu-batu dalam
keadaan mengandung ketika dirasuk jin.
Kak Ta meminta pertolongan jemaah
masjid dan surau di sekitar kawasan kediamannya. Disedekahkan sedikit belanja
untuk menjamu ahli jemaah untuk membaca yasin memohon keselamatan dan kesejahteraan
untuk suaminya. Dia juga melakukan solat hajat setiap malam mengharap
sungguh pertolongan Allah Taala.
Selama sebulan Abang Za di rawat di
hospital Ipoh kemudian dipindahkan pula ke hospital pakar di Kuala Lumpur. Di
Kuala Lumpur pun selama sebulan juga Abang Za dirawat. Kak Ta menemani Abang Za
di sisi dengan kasih sayang dan berharap pertolongan Allah semata-mata. Sepanjang
menjaga dan menemani Abang Za di hospital, anak-anaknya dijaga oleh
saudara-saudara, ibu dan jiran-jiran.
Penyerahan hati Kak Ta kepada Allah
memberi ketenangan jiwanya sepanjang saat-saat yang sukar yang dilaluinya. Tiba saat pembedahan di kepala Abang Za satu
keajaipan telah berlaku.Setelah tempurung kepala di buka, doktor bedah terkejut
kerana kesemua urat-urat yang pecah itu mudah di temui. Tersusun dangan jelas.
Masa operasi yang dijangka 8 jam disingkat selama 4 jam sahaja. Doktor
menjangka Abang Za akan sedar selepas seminggu tetapi selepas 4 hari Abang Za
sudah sedar.
Selepas pembedahan Abang Za khayal
dan trauma. Keadaan Abang Za yang tak keruan. Kadang-kadang Abang Za bercakap
sorang-sorang.Kadang-kadang dia kata nampak hantu. Dan macam-macam lagi
perangai pelik-pelik Abang Za.
Tapi siapa sangka selepas beberapa
bulan, Abang Za kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Dapat bekerja dan sihat seperti biasa.
Saya tanya kepada Kak Ta bagaimana
dengan kos perubatan dan pembedahan Abang Za. Kak Ta menyatakan bahawa dia
sendiri terkejut. Lebih kurang RM 500.00 sahaja yang perlu dibayar. Pihak
hospital dan doktor amat berbangga dengan kejayaan pembedahan ke atas Abang Za.
Jarang pembedahan sebegitu membuahkan kejayaan. Abang Za amat bertuah kerana
terselamat dan sihat kembali. Alhamdulillah.
Kak Ta pun segera melakukan nazar yang
dijanjikan ketika Abang Za sakit dulu.Iaitu menyembelih kambing. Ahli jemaah masjid dan surau yang sama-sama
mendoakan kesejahteraan Abang Za dulu dijamu makan.
“Allah telah mengabulkan doa dan
solat hajat saya ustaz. Allah juga mengabulkan doa mereka yang sama-sama
mendoakan kesejahteraan Abang Za.Alhamdulillah,” kata Kak Ta dengan nada penuh
kesyukuran.
Manakala Abang Za pun baru khatam Al
Quran bersama saya. Kerana katanya dia tak mahu sia-siakan lagi peluang kedua dalam
hidupnya. Alhamdulillah. Pasangan suami isteri ini benar-benar bersyukur dan
bahagia kini
ALLAH MENGUJI KITA DARI SUDUT YANG
TAK PERNAH DIJANGKA
JIKA DIUJI, JANGAN BURUK SANGKA.
SEBALIKNYA BANYAK BERSERAH KEPADA ALLAH YANG MAHA BIJAKSANA YANG MENENTUKAN
QADHA DAN QADAR KITA. JANGAN RAGU DENGAN KEKUASAAN ALLAH YANH MAHA BERKUASA