Halaman

Selasa, 27 Mei 2014

MAK ! TUHAN TAHU APA YANG AKU RASA ….

Dalam kehidupan kita banyak perkara yang kita tak pernah jangka boleh berlaku. Semua itu seiring dengan ketetapan Azali yang menjadi rahsia kehidupan kita. Cuma tuhan saja yang Maha Mengetahui. Kita hanya melangkah meniti jalinan taqdir Ilahi.

Kali ini mari kita kongsi perasaan kita dengan seorang lelaki yang pernah melalui kekecewaannya terhadap kedua ibu bapanya.Lelaki ini saya namakan sebagai S. Kisahnya amat menyentuh hati dan S menceritakan dengan kesedihan dan tangisan.

Sebagai pasangan yang bercinta segala-galanya amat indah bagi mereka. Ucapan kasih sayang sering mengisi kemesraan pasangan ini.Tapi siapa sangka. Kisah cinta yang indah dalam kehidupan ini bukan milik mutlak kita. Akhirnya pasangan ini bercerai dengan penuh kebencian dan dendam.

S adalah anak hasil perkahwinan pasangan ini. Dia pun tak pernah ingin menjadi anak mangsa penceraian yang telah menimbulkan perbagai duka dalam hidupnya. Namun dia redha dengan ketentuan ini. Hatinya amat kecewa tapi apakan daya….

Selepas bercerai S telah dipelihara oleh datuk dan nenek sebelah ayahnya. Bapanya kahwin lain dan mempunyai 6 orang anak. Manakala ibunya pula berkahwin dengan orang Kedah dan mempunyai 2 orang anak. S terpinggir dan tak pernah dipedulikan oleh ibu dan bapanya.

Bapanya amat mengambil berat dengan isteri barunya dan anak-anaknya (saudara tiri S). S langsung dipinggirkan. Bapanya tidak menyukainya. Manakala ibunya sibuk dengan suami barunya. Diri S bagaikan dilupakan.

Tapi S bernasib baik.Datuk dan neneknya sangat sayang kepadanya.Merekalah pengganti ibu dan ayah S. Merekala yang bersusah payah menjaga sakit demam S. Bahkan mereka sering berbimbang dengan nasib atau masa depan S. Mereka tahu sikap ayah S yang tak menghiraukan langsung S.Mereka merancang sesuatu bagi menjamin masa depan S.

Mereka telah menghadiahkan sebahagian besar harta mereka kepada S. Hingga ayah S sendiri tidak puas hati. Bahkan ayah S menghapuskan hak faraid S dalam hartanya. Tapi S redha. S menjaga kembali datuk nenek S setelah dia semakin dewasa dan pandai berdikari. Sikap S yang sangat-sangat mengambil berat terhadap datuk neneknya menyentuh bapa saudara S yang bongsu ( adik ayahnya). Dia dengan rela hati menjual tanah miliknya kepada S dengan nilai yang murah dan kini tanah itu bernilai berjuta-juta ringgit.

Bila ditanya orang mengapa bapa saudara S menjual tanah kepada S dengan begitu murah, jawapannya sangatlah mudah.

“Aku sendiri tak dapa jaga ibu bapaku seperti S”.

Inilah pulak tuah dan rezeki S. Ibu bapa tak ambil peduli, datuk dan nenek serta bapa saudara pula sangat sayang.S sangat bersyukur dengan limpah kurnia tuhan ini. Dia sendiri kini hidup dalam keadaan yang selesa dan sentiasa prihatin dengan nasib orang yang susah

Satu hari, dia meluahkan rasa kecewanya tentang sikap kedua ibubapanya kepada saya. Dengan linangan airmata dia menceritakan bagaimana payahnya dia cuba nak mendekatkan kembali hubungan dengan ibunya sendiri. Dia tetap disambut dingin dan dia sangat kecewa dengan keadaan ini.

Bahkan pernah dia katakana begini kepada ibunya sendiri,

“Mak, kalau mak tak sayangkan S pun tak apa. S rasa kalau S jatuh mati di jalan tak siapa nak menangis. Tapi cukuplah mak terima S untuk ziarah mak selalu.S pun tak tahu mengapa S jadi begini.”

Mak S hanya diam tanpa sebarang respon. S sendiri tak mengerti mengapa maknya begitu.Begitu juga ayahnya. Bahkan ada ketika sampai tak mengaku dia sebagai anak. Tapi S tetap redha dengan taqdir ini.

S menceritakan dengan penuh tangisan rindu seorang anak. Segala punca menjadi rahsia. Hanya tuhan Maha Mengetahui. Mengapa? Kenapa? Dan Bagaimana?

Akhir bicara S mengatakan,

“Walau apa pun yang berlaku.Kesedihan dan kedukaan ku ini hanya Allah SWT yang tahu.Cukuplah diriku dan tuhan yang tahu kedukaan ini.Allah Maha Adil.”

Saya terdiam.

DERITA HATI SESEORANG HANYA EMPUNYA DIRI SAHAJA YANG MENGERTI
KITA SEKADAR MEMBERI PANDUAN DAN PANDANGAN
MUNGKIN SEDIKIT MEMAHAMI JIKA PERNAH MELALUI DERITA ITU
ATAU MUNGKIN NASIHAT KITA MIRIP SEKADAR TEORI SEMATA-MATA


AKUILAH ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA BIJAKSANA

DOA SEORANG ISTERI …

Kehidupan berumahtangga pasti melalui pelbagai dugaan dan rintangan. Segala yang dilalui itu perlukan ketabahan dan kecekalan serta kerjasama di antara suami isteri. Kepercayaan dan kasih sayang amat diperlukan ketika melalui saat-saat genting dalam  kemuncak permasalahan. Kadangkala masalah hidup ini bukan pasti ada penyelesaian sebaliknya redha dan melalui duka itulah penyelesaiannya.

Kisah kali ini saya ambil dari pengalaman sepasang suami isteri yang melalui suka duka dalam kehidupan mereka. Mereka adalah ahli kelas KBNM. Mereka merestui untuk saya paparkan kisah mereka ini di dalam blog saya. Mudah-mudahan menjadi iktibar kepada kita semua.

Perkahwinan Kak Ta dan Abang Za diatur oleh keluarga. Abang Za tak pernah kenal atau berjumpa sebelum bernikah dengan Kak Ta. Namun dengan berkat menerima dan mendapat restu ibu bapa maka perkahwinan mereka mendapat kebahagiaan dan kasih sayang.

Satu hari Abang Za jatuh di bilik air dan pengsan. Kak Ta menyedari keadaan tersebut dan  meminta pertolongan jiran tetangga. Mereka membawa Abang Za ke hospital. Sesampai di hospital, Kak Ta di maklumkan bahawa Abang Za mengalami pendarahan di dalam kepala. Menurut doktor mungkin beberapa urat di dalam kepala Abang Za telah pecah.

Kak Ta amat sedih dan berduka. Mereka hanya peniaga kecil dan pasti tak mampu menampung kos perubatan Abang Za jika di bedah. Kak Ta pasrah dengan ketentuan itu. Sebenarnya Kak Ta sendiri  sakit. Sakit gangguan jin. Dia sendiri kerap dirasuk jin dan pernah tak sedar diri berjalan berbatu-batu dalam keadaan mengandung ketika dirasuk jin.

Kak Ta meminta pertolongan jemaah masjid dan surau di sekitar kawasan kediamannya. Disedekahkan sedikit belanja untuk menjamu ahli jemaah untuk membaca yasin memohon keselamatan dan kesejahteraan untuk suaminya. Dia juga melakukan solat hajat setiap malam  mengharap  sungguh pertolongan Allah Taala.

Selama sebulan Abang Za di rawat di hospital Ipoh kemudian dipindahkan pula ke hospital pakar di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur pun selama sebulan juga Abang Za dirawat. Kak Ta menemani Abang Za di sisi dengan kasih sayang dan berharap pertolongan Allah semata-mata. Sepanjang menjaga dan menemani Abang Za di hospital, anak-anaknya dijaga oleh saudara-saudara, ibu dan jiran-jiran.

Penyerahan hati Kak Ta kepada Allah memberi ketenangan jiwanya sepanjang saat-saat yang  sukar yang dilaluinya.  Tiba saat pembedahan di kepala Abang Za satu keajaipan telah berlaku.Setelah tempurung kepala di buka, doktor bedah terkejut kerana kesemua urat-urat yang pecah itu mudah di temui. Tersusun dangan jelas. Masa operasi yang dijangka 8 jam disingkat selama 4 jam sahaja. Doktor menjangka Abang Za akan sedar selepas seminggu tetapi selepas 4 hari Abang Za sudah sedar.

Selepas pembedahan Abang Za khayal dan trauma. Keadaan Abang Za yang tak keruan. Kadang-kadang Abang Za bercakap sorang-sorang.Kadang-kadang dia kata nampak hantu. Dan macam-macam lagi perangai pelik-pelik Abang Za.

Tapi siapa sangka selepas beberapa bulan, Abang Za kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Dapat bekerja dan sihat seperti biasa.

Saya tanya kepada Kak Ta bagaimana dengan kos perubatan dan pembedahan Abang Za. Kak Ta menyatakan bahawa dia sendiri terkejut. Lebih kurang RM 500.00 sahaja yang perlu dibayar. Pihak hospital dan doktor amat berbangga dengan kejayaan pembedahan ke atas Abang Za. Jarang pembedahan sebegitu membuahkan kejayaan. Abang Za amat bertuah kerana terselamat dan sihat kembali. Alhamdulillah.

 Kak Ta pun segera melakukan nazar yang dijanjikan ketika Abang Za sakit dulu.Iaitu menyembelih kambing.  Ahli jemaah masjid dan surau yang sama-sama mendoakan kesejahteraan Abang Za dulu dijamu makan.

“Allah telah mengabulkan doa dan solat hajat saya ustaz. Allah juga mengabulkan doa mereka yang sama-sama mendoakan kesejahteraan Abang Za.Alhamdulillah,” kata Kak Ta dengan nada penuh kesyukuran.

Manakala Abang Za pun baru khatam Al Quran bersama saya. Kerana katanya dia tak mahu sia-siakan lagi peluang kedua dalam hidupnya. Alhamdulillah. Pasangan suami isteri ini benar-benar bersyukur dan bahagia kini

ALLAH MENGUJI KITA DARI SUDUT YANG TAK PERNAH DIJANGKA
JIKA DIUJI, JANGAN BURUK SANGKA. SEBALIKNYA BANYAK BERSERAH KEPADA ALLAH YANG MAHA BIJAKSANA YANG MENENTUKAN QADHA DAN QADAR KITA. JANGAN RAGU DENGAN KEKUASAAN ALLAH YANH MAHA BERKUASA


BUKAN SEMUA IMPIAN JADI KENYATAAN

Selagi bernama manusia, pasti takkan kering dengan impian atau cita-cita.Impian tampak indah,megah dan gemilang.Seolah-olah akan meletakkan seseorang ke tahap kebahagiaan atau kepuasan.Memang digalakkan seseorang itu menaruh impian-impian yang baik.Ini akan mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang diimpikan.

Namun semua impian itu bukan boleh dikuasai oleh makhluk kerana rantaian taqdir tetap di dalam kekusaan Allah SWT.Tapi manusia tak boleh meninggalkan impian yang baik-baik dalam hidupnya. Tanpa impian hidupnya pasti tiada makna

MANUSIA MERANCANG ALLAH MENENTUKAN

Bukanlah perancangan kita itu yang terbaik sebaliknya perancangan Allah lah yang penuh rahsia dan teristimewa.

Manusia mempunyai impian dan cita-cita tertentu.Di antaranya nak kaya, alim, berkedudukan dll.Namun kebanyakan impian itu kadang-kadang bagai mimpi-mimpi kosong jika tidak tercapai.Kadang-kadang hati sedikit kecewa bila impian itu dirobek oleh bala bencana.Sabar… sabar…

Kali ini saya nak paparkan kisah impian seorang lelaki yang tak menjadi kenyataan. Tapi bagi saya itulah kejayaan yang paling hebat untuk dirinya. Berjaya melalui kedukaan itu.

Z seorang lelaki tampan. Penuh gaya persis bintang filem rupa dan perawakannya. Dia juga mempunyai kelulusan yang baik. Graduan dari sebuah university tempatan. Dia juga menjawat jawatan yang baik. Iaitu pensyarah kolej swasta dan berniaga sambilan bagi menambah pendapatan.

Tapi siapa sangka. Dikala dia sedang mengimpikan untuk bernikah dengan seorang wanita yang dicintainya. Saat cuba merealisasikan impiannya untuk mendapatkan kejayaan lebih cemerlang dalam pelajaran serta beberapa impian lagi. Tiba-tiba dia jatuh sakit. Amat luar biasa.

Asalnya demam. Kemudian anggotanya semakin lemah.Kemudian tubuhnya semakin menyusut. Badan pun tinggal rangka je lagi. Rawatan di hospital tidak menemui jawapan. Sementara dengan rawatan tradisional pun tiada keputusan. Semakin hari semakin derita.

Kerana tak mampu berdiri lama dan lemah akhirnya dia letak jawatan. Dia terpaksa memutuskan hubungan dengan kekasih hati dengan keadaan terpaksa. Dirinya bangkai bernyawa. Punca penyakit tidak juga ditemui.

Saya tanya kepada Z bagaimana dia melalui kedukaan ini. Dia menyatakan bahawa pada permulaan dia memang kecewa dan amat sedih dengan keadaan dirinya. Namun lama kelamaan dia belajar menerima ketentuan taqdir ini.

Sedang derita itu ibunya meninggal dunia. Selama ini ibulah tempat dia mengadu dan  berkongsi duka. Namun apa daya. Maut menjelma bukan di duga. Tidak lama selepas itu ayahnya pula menderita sakit. Sakit yang hampir sama seperti dia. Mujurlah ada adik beradiknya sudi membantu.

Ketika berbicara dengan Z dia memberi beberapa pandangan yang bernas. Di antaranya:

1.      Bila diduga tuhan, masalah atau sakit itu bukan semestinya kita mengerti atau tahu. Yang nyata semua itu ujian tuhan
2.      Memahami kedukaan lebih sukar daripada meraikan kesukaan di atas kejayaan. Tapi ramai yang tertipu dengan keseronokan dunawi
3.      Patutlah orang yang tak pernah sakit atau susah sombong.Rupanya ada duka yang orang takut berjangkit.
4.      Bukan semua impian jadi nyata.Kerana yang nyata hidup ini penuh impian bagai mimpi rupanya.

Z melalui kedukaan ini dengan airmata, kecewa dan duka. Kemudian dia terpaksa melalui dengan cekal dan harapan. Kesabaran menjadi rahsia mengukuh jiwanya.Impian yang hilang tak perlu diratapi. Masih ada banyak lagi impian dalam hati Z.Tapi dia pasrah dan redha.

Adakah kita benar-benar dapat memahami duka Z? Pasti tidak. Mungkin simpati lebih condong di jiwa kita. Yang melalui lebih merasai. Kenangkanlah insan-insan yang telah hancur impiannya di tengah jalan.Mungkin ada di sekeliling kita.Cuma kita tak sedar. Fahami hati mereka sekadar yang mampu. Ada iktibar yang mungkin bermakna.

HIDUP IBARAT MIMPI. MATI MENYEDARKAN DARI MIMPI KEHIDUPAN
MIMPI INDAH IDAMAN HATI DI HARAP JADI NYATA

NAMUN SIAPA BISA MENOLAK KETENTUAN ILAHI SEJAK AZALI

Sabtu, 10 Mei 2014

IKHLASKAH SEDEKAH INI?

Ketika saya menjamu selera di sebuah kedai kopi, saya di datangi seorang lelaki yang saya tak kenali tapi ingin meluahkan perasaannya. Saya pun tak kisah. Mungkin dengan meluahkan masalahnya dia akan kembali tenang. Saya pun nak tahu juga apa masalahnya.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai M. Sudah berkeluarga dan berpendapatan sederhana.

“Saya sebenarnya tak puas hati ustaz. Bukan apa ustaz…
 Kenapa mereka mempergunakan agama untuk korek poket kami ustaz”, keluh M

“Cuba terangkan dulu. Apa masalahnya?

“ Begini ceritanya ustaz. Satu hari saya pergi ke masjid untuk menerima rawatan bekam dari sekumpulan ustaz yang kononnya membangunkan madrasah tahfiz.  Saya pun berbekam setelah mendapat penerangan berkaitan bekam yang sebenarnya sunnah Rasullullah SAW. Satu cawan bekam itu harganya RM 15.00. Setelah berbaring tanpa banyak tanya ustaz itu telah memasang lebih daripada 20 cawan bekam. Saya tak minta letak sebanyak itu dibelakang saya. Setelah selesai saya terpaksa membayar lebih daripada RM 400.00.

Duit saya ketika itu tak lah sebanyak itu. Saya minta kurang. Tapi saya disindir dengan kata-kata. Akhirnya saya membayar dengan nilai RM 350.00. Hati saya tak ikhlas ketika memberinya. Saya keliru, kenapa jadi begini.

Persoalan saya sekarang ialah :

1.      Kenapa amalan sunnah sudah jadi sangat mahal dan pasti menzalimi orang miskin.
2.      Bolehkan memberi perkhidmatan tanpa penerangan yang tepat? Akhirnya orang yang menerima rawatan terinaya, membayar dengan kos tinggi.
3.      Adakah sedekah jariah dapat pahala jika yang memberi terasa terinaya dan penerima menabur muslihat.
4.      Bolehkah duit sedekah itu di gunakan oleh ustaz-ustaz itu gunakan untuk bersedap-sedap untuk makan dan menyewa hotel?

Saya hairan kenapa mereka bercakap tanpa mengerti derita kami. Dahlah kos kehidupan kini semakin tinggi. Mereka pula mengenakan orang dengan jalan yang halus dan menyakitkan.”

Saya diam. Saya akui memang sejak kebelakangan ini wujud situasi yang kurang menarik oleh  golongan pendukung-pendukung agama. Sebenarnya tak ada alasan untuk mereka takut susah atau miskin dalam memperjuangkan agama kerana pasti Allah akan membela mereka. Sikap mereka sebeginilah yang akan menimbulkan fitnah dan anggapan buruk masyarakat terhadap golongan agama.

Tetapi masih ramai juga lagi yang ikhlas memperjuangkan agama kerana Allah Taala.Mereka hidup susah dan miskin.Mereka ikhlas dan berharap dengan pertolongan Allah sentiasa. Mereka tetap mengamalkan hidup bagaikan musafir sepanjang hayat mereka. Senang cakap.
Pendirian mereka HIDUP PINJAMAN AMANAH DI UTAMAKAN.

Saya masih ingat lagi bagaimana keadaan seorang ulamak di Patani. Dia menjadi menggelabah apabila saya melihat sekeliling rumahnya. Dengan merendah diri dia menyatakan,

“Tuan jangan salah faham. Rumah saya yang besar ini untuk kegunaan orang ramai. Ramai yang menginap di sini dan untuk pengajian.”

YAKINLAH ….. REZEKI DARIPADA ALLAH
JANGAN RAGU…..

JANGAN MENIPU DALAM AGAMA.

UBAT MAHAL GERENTI BAIK

Bila sakit, hati gundah gulana. Hidup rasa kecewa kerana tak mampu bekerja. Kadang-kadang sampai berprasangka buruk. Merasakan seolah dah tak ada harapan untuk sembuh. Air mata bagai tak mahu mengalir. Namun mimpi hidup yang nyata ini pasti akan dilalui.

Sedang menderita sakit, tiba-tiba pintu rumah diketuk.

“Assalamu a`laikum”

Lafaz salam berulang kali kedengaran di muka pintu. Rupa-rupanya kawan lama yang sudah lama tak jumpa. Maka berlangsunglah majlis ramah mesra dek kerana tali persaudaraan telah lama terputus cuba disimpul kembali.

“Awak apa khabar? Lama dah sakit? Sabarlah ye…

Itulah patah bicara mesra yang dilafaz oleh sahabat yang muncul kembali. Si sakit terasa amat dihargai.Tak sangka kawan lama sanggup datang dan menziarahi dirinya yang sedang menderita sakit ketika ini. Dirinya pun turut berbangga dengan kejayaan kawan dalam perniagaannya.

Namun bicara mesra terputus setelah si kawan lama mengeluarkan catalog. Si sakit semakin sakit hati. Rupanya niat ziarah bukannya ikhlas atas nama persahabatan. Sebenarnya nak promosi barangan kesihatan. Si sakit terasa nak kembali berehat. Tapi tak sanggup nak minta si kawan keluar pulak. Lama kelamaan si kawan semakin rancak menyusun bicara dan mempengaruhi si sakit agar membeli barangan kesihatan yang di jualnya. Bukan murah pulak tu.

Si kawan telah bertukar watak. Sekejap jadi doktor. Sekejap jadi lawyer. Sekejap jadi broker saham di BSKL. Aduh …..   Cakapnya semakin kurang ajar dan tak beretika. Antara persoalan-persoalan yang tak wajar yang dia paparkan ialah :

1.      Awak makan ubat ni. Ramai dah yang baik. Nak baik ke nak sakit?
2.      Makan ubat ni bukan ganggu ubat doktor. Ubat doktor tu lagi bahaya.Ada kesan toksid
3.      Jangan rasa rugi berbelanja lebih. Ubat ni gerenti baik.
4.      Saya jual ubat ni sebab nak tolong orang. Ikhlas ni
5.      Kalau baik nanti (kalau tak baik pun tak pa) tolong promosi kat kawan-kawan.
6.      Dan macam-macam lagi

Si kawan diam. Hampir tak mampu nak menolak. Hujah-hujah yang diberikan oleh kawan tadi amat hebat. Tiba-tiba air mata mengalir di pipi si sakit.

“ Aku sakit kawan. Aku juga tidak bekerja. Aku miskin ketika ini. Kalau kau ikhlas … tolonglah aku. Aku tak mampu membeli ubat-ubatmu. Maafkan aku.” Dengan suara yang lemah si sakit meluahkan isi hatinya.

Kawan terdiam. Cepat-cepat dia meminta diri. Dia merasa langkahnya sudah sumbang. Lalu dia beredar dengan tergopoh gapah. Kereta di pecut laju. Entah ke mana pula destinasi kawan tadi.
Si sakit diam dan faham. Diri yang sakit kembali reda dengan provokasi kawan yang bijak berkata-kata. Sukar untuk dia menerima ziarah yang penuh makna itu di masa akan datang.

Selang beberapa bulan kemudian, si sakit sembuh dari sakit. Hidupnya kembali ceria. Aktiviti hidupnya kembali normal.

“Eh , macam kenal je.” Si sakit melambai tangan kepada kawan yang sibuk mempromosi barangan kesihatan di satu tempat. Si Kawan buat-buat tak kenal. Macam dia sudah tak kenal si sakit. Dia lebih kenal duit dari sakit. Ya ….. memang kawan tak kenal sakit tu lagi sebab kawan tak pernah sakit.

Si sakit insaf. Syukur dia sudah sembuh dari sakit walau pun hatinya disakiti.

UBAT SYARAT UNTUK SEMBUH PENYAKIT
BUKAN GERENTI BAIK SAKIT

ZIARAH ORANG SAKIT DAN DOAKAN KESEMBUHANNYA SERTA JANGAN SAKITI HATI MEREKA