Halaman

Selasa, 29 Jun 2010

Ziarah

Setelah berbasikal ni, banyak tempat juga yang saya pergi.Banyak pemandangan yang dapat saya saksikan yang saya tak perasan selama ini.Sebagai contoh, ada satu rumah orang yang agak susah yang saya tak perasan semasa bermotor.Tetapi setelah saya berbasikal baru aku nampak rumah itu.Dan tuan rumah itu kini kerap menegur saya setiap kali lalu di depan rumahnya.Dengan berbasikal juga kini ramai orang menegur saya.Dan ini memberi satu keseronokkan pula ketika berbasikal di dalam kawasan kampung.
Badan pun nampak kurus sikit.Kira nampak macho la.Hehehehe.Itu bukan matlamat utama bagi saya.Yang penting sihat walafiat.Boleh katakan setiap hari saya akan berbasikal.Kalau ke sekolah tentu nya berbasikal.Kalau hujan lagi suka.Pasal tak panas.Pandangan nampak cool je.Baju hujan standby dalam beg.Dalam beg tu semua cukup.Ada baju hujan,pam basikal,tayar spare,lampu basikal, sepanar dan lain-lain lagi.


Bukan apa.Kalau ada kecemasan tak lah kelam kabut.
Jarak rumah ke sekolah lebih kurang 5 km.Pi balik mau 10 km.Jadi setiap hari boleh lah dapat10 km kira okay lah.Kalau seminggu boleh dapat 70km.Cuba bayang kalau 100 hari atau 1000 hari.Wow.... kira macam jarak pusing dunia gak la..

Kini aktiviti untuk berziarah sudah bermula.Saya mulai berziarah ke rumah Tok Guru saya.Tuan Haji Ghazali B. Hj. Ahmad.Dia adalah guru saya semasa di SMA Al Falah.Memang dia juga ada bau-bau bacang dengan ibu saya.Sebenarnya sudah lama saya nak ziarah dia.Bah kan ketika dia terkena penyakit angin ahmar beberapa tahun lalu pun saya dah teringat nak pergi.Tapi main dengan kesibukan dunia.Lalu lalang depan rumah dia pun tak singgah-singgah.Memang benar kata orang.Sekiranya kita sihat mudah kita melupai orang yang sakit.Hari tu saya ziarah bersama isteri aku.Alhamdulillah Ustaz menyambut kami dengan mesra dan dia pun sudah sihat.
Dalam perbincangan kami dia ada juga mengadu badannya kurang berpeluh.Katanya kalau berpeluh rasa segar sikit.Ini menjadi iktibar kepada saya betapa badan berpeluh amat berharga kepada seseorang sakit.Alhamdulillah kini saya kerap berpeluh.Berbasikallah katakan.
Ziarah saya yang kedua ialah mengunjungi seorang sahabat ayah yang pernah bekerja dengan ayah dulu.Ketika melalui rumahya saya terpandang seseorang di tepi pintu.Duduk di sebuah kerusi sambil memegang tongkat besi yang berkaki empat.Saya tak kisah.Jalan terus.Tapi teringat nak patah balik pulak.Sampai saja dirumah tersebut, lelaki itu terus menyapa.
"Aku niring ja kawo lalo(Saya lihat je kau lalu)".Rupanya lelaki itu mengenali saya ketika berlalu di depan rumahnya.Saya terharu.Kerana sudah bertahun tidak bertemu dengannya. Dan baru saya tahu bahawa dia sudah tidak berupaya untuk berjalan.Ada besi dimasukkan di dalam kakinya.Mungkin bekas kemalangan.Banyak juga perkara yang kami bincangkan.Dan macam biasa orang tua suka mengenang kembali kisah-kisah lalu.Saya terharu mendengar kisah-kisah tersebut terutamanya mengenai allahyarham ayah.Benarlah katanya bahawa ayah seorang yang kuat berusaha dan mempunyai ramai rakan yang setia.Alhamdulillah.Mudah-mudahan Allah merahmati dan mengampunkan dosa ayah.
Angah Khalid(orang tua tersebut) tidak lupa mengingatkan saya tentang jirannya yang sedang menderita sakit.Kebetulan jiran tersebut adalah sepupu ayah.Maka ziarah yang ketiga diteruskan pada hari yang lain.
Kehadiranku untuk ziarah kali ini pun aku berseorangan.Isteri tak dapat nak menemani.Ada orang belajar mengaji.Seperti biasa sambutan yang saya terima amat meriah oleh tuan rumah.Angah Ali menderita sakit kencing manis.Matanya pun agak kabur.Dia tidak mengenali saya.Tetapi setelah menyebut nama ayah baru dia kenal.Suaranya segar melayan saya.Isterinya turut serta.Dia memujiku kerana berbasikal datang ke rumahnya.Katanya lagi, "jagalah kesihatan sebelum ditimpa penyakit".
Dinasihatnya juga agar mengelakkan makan nasi lewat malam.Kesihatan amat berharga untuk yang menderita sakit.
Ziarah yang keempat ialah ke rumah Pak Cik Mat.Saya mengenali dia semasa di bangku sekolah lagi.Anaknya Azura adalah rakan seumur dan sekelas dengan saya.Saya kerap menziarahinya.Dia mengalami penyakit angin akhmar.Tidak boleh berjalan dengan sempurna dan banyak menghabiskan masa dengan berbaring dan duduk.Dia amat sensitif.Kerap dia menangis apabila hatinya tersentuh.Saya katakan kepadanya."Insya Allah jika ada kelapangan saya dan isteri akan datang ziarah dan sama-sama buat doa selamat di rumahnya".Dan dia kembali sebak serta menangis.Tetapi dia sempat juga berpesan kepada saya untuk membimbing rakannya yang menghadapi masalah keagamaan.Rakannya itu tidak tahu membaca Al Quran dan tidak sembahyang.Insya Allah akan saya cuba.
Sesungguhnya tiada siapa pun yang mahu dirinya menderita sakit.Tetapi takdir Allah Taala tiada siapa yang dapat menghalang.Setiap yang hidup pasti akan mati.Yang sihat juga akan sakit.Derita hati orang yang sakit hanya empunya diri dan tuhan sahaja yang mengetahui.Hargailah kesihatan kita.Tubuh badan dan akal yang sihat bagaikan syurga bagi seorang yang hidup.
Sekiranya menderita sakit banyak-banyaklah bersabar.Makan ubat ikut aturan.Pantang atau larangan yang disyorkan oleh doktor patuhilah.Kalau ditakdirkan mati kerana sakit biarlah bergaya.Iaitu dalam berusaha melawan penyakit dengan mematuhi pantang larangnya.Berubat amat penting jika sakit.Yang lebih utama berdoa dan akhirnya bertawakal kepada tuhan.
Sesuatu yang saya pelajari semasa berziarah ialah:
1.Harga kesihatan amat tinggi harganya kepada orang yang sakit
2.Menziarahi orang tua dan orang sakit membentuk kelembutan hati seseorang
3.Budi bahasa dapat dibentuk sekiranya kerap menziarahi orang sakit dan tua
4.Hidup ini perlu dihiasi dengan kegiatan kebajikan

Wallahu a`klam

2 ulasan:

kgtokngah berkata...

mana gambar basikalnya ustaz...?

Sofi berkata...

Ada le sikit kat blog ni.Kat FB ada gak.Tp jenis murah je....