Halaman

Ahad, 27 Mac 2011

J...kau ada hak untuk bahagia.

Petang tadi datang seorang gadis mengadu kepada saya.Satu masalah yang agak menarik.Gadis itu berumur lebih kurang 30an.Bekerja kilang.Cantik dan menarik.Tapi nampak kusut kerana permasalahan dalam diri.

Saya namakan sebagai J.Sebenarnya ayah J salah seorang rakan baik saya.Ayah J sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.Apa masalah J ini?

Apa yang J suarakan pada saya?Mula-mula dia mengadu berkaitan dengan sakit yang di deritai abangnya.Abangnya sudah berkahwin.Tetapi sakit abangnya ini agak luar biasa.Badannya menyusut dan kurus kering.

Mengikut cerita bomoh abangnya terkena buatan orang.Tapi yang tak sedap tuduhan yang mengatakan orang yang buat itu ialah isteri abangnya sendiri.Keadaan ini amat mengelirukan J. Tambah pula bapa saudaranya mendesak J mencari bomoh yang mampu membalas perbuatan itu.Bahkan bapa saudaranya mengajak dia pergi berjumpa bomoh yang handal dan upah bomoh itu membunuh secara batin.Kerana kata bapa saudaranya, kini penyakit itu semakin parah dan akan membawa maut kepada abang dan ibunya.

Untuk permasalahan tersebut saya katakan bahawa berhadap atau terlalu mempercayai cerita bomoh akan membawa kepada syirik.Soal ajal maut bukan dapat ditentukan oleh lisan manusia.Walaupun sihir itu ada.Perbuatan halus itu benar.Tetapi mempercayai soal ajal maut itu adalah rahsia tuhan.

Jangan terpengaruh dengan kata-kata yang menakutkan kerana kebenaran siapa yang tahu.Hanya tuhan.Itulah kelemahan pemikiran tahyul yang banyak menghantui masyarakat kita.

J lebih rasa terkilan kerana segala perbelanjaan perubatan tersebut dia yang tanggung.Bapa saudaranya hanya menekan pemikirannya semata.

Lalu saya lihat pada riak muka dan permasalahan sebenar diri J.Apa yang jelas J terlalu derita menanggung banyak hal.Bukan soal sakit itu semata-mata yang dia terpaksa tanggung.Bahkan perbelanjaan makan minum ibu,adik dan abang juga terpaksa ditanggungnya.Dia mudah kasihan kepada mereka.Segala wang gajinya digunakan untuk membantu mereka.Sedangkan mereka senang dan masing-masing bekerja.Tapi mereka tidak malu meminta duit dan songlap duitnya.

Tapi dia amat mudah kasihan dan akhirnya dia menderita.Bahkan soal jodoh pun dilupakan semata-mata ingin keluarganya senang dan sempurna.Dia sayang kepada keluarganya.Dia sanggup bekorban untuk mereka.Dia sanggup derita kerana mereka.

Ibunya juga akan menangis dan meraung sekiranya dia tak memberikan wang kepada abangnya.Dia terperangkap antara permintaan adik-beradik yang menekan jiwa dan air mata ibunya.Sedangkan pendapatannya bukanlah terlalu besar.Tetapi adik beradiknya tak tahu menghargai.Ucap terima kasih pun payah.

Saya katakan kepadanya."Bebaskanlah hidupmu J.Kerana kau berhak menerima kebahagiaan. Pengorbanan memang baik.Tetapi sentiasa terkorban akan menyiksa diri sendiri.Utamakan kebahagiaan diri sendiri.Tiada guna berkorban untuk orang yang tak tahu menghargai.Keluar dan carilah kehidupan sendiri"

Mungkin ada kalanya kita rasakan tindakan kita akan dipertikai.Tapi tak salah jika kita bertegas untuk kepentingan diri sendiri dahulu.Mereka tentu boleh mengatasi kehidupan mereka kerana mereka juga bekerja.Mereka juga berakal.Kenapa wang ringgit kita punahkan semata-mata untuk kesenangan dan kemudahn orang lain.Sampai kita terlalai untuk menyusun kehidupan diri sendiri

Anjuran saya untuk J ialah:

1. Buktikan bahawa dia mampu memiliki rumah dan kenderaan sendiri

2. Carilah jodoh yang sesuai dan jangan terbeban dengan permasalahan orang lain hingga lupa perancangan hidup sendiri.

3. Kita berhak bahagia dan gembira dengan titik peluh kita.Bukan semata-mata memberi kesenangan untuk orang lain.

4. Kembali kepada jalan agama.Bacalah al quran dan kuatlah beribadah kepada tuhan.

Tetapi dalam persoalan sebegini jawapan yang paling penting ialah ketegasan diri J sendiri.Kerana dia pun ada hak untuk bahagia.Dia berhak mendapatkannya.Wallahu a`klam