Halaman

Selasa, 5 November 2019

Nenek suka berziarah

Berziarah adalah sikap yang baik. Berziarah ibu bapa lebih-lebih dituntut.Begitu juga menziarahi sahabat handai yang telah lama tidak bertemu.Pasti mengubat kerinduan dan menambah kasih sayang. bahkan menziarahi orang sakit dan miskin amat dituntut dalam agama. Yang penting tata cara dan kesesuaian berziarah itu perlu dipelajari.

Nenek saya adalah keturunan kerabat diraja kerajaan Pontianak, Banjaranmasin, Indonesia.Dia gemar bermusafir dan berziarah.Kerap saya mengiringi dia berziarah kaum keluarganya.Samada jauh dan dekat.Setiap petang dia gemar menziarahi jiran tetangganya.

Pernah satu ketika, saya melalui saat dia tidak dilayan dengan baik ketika menziarahi sebuah keluarga.Dia sabar dan dia katakan bahawa ziarah ini akan membawa makna yang baik bagi sesiapa yang memahaminya.Dia tak pernah serik berziarah dan dia mengamalkan ziarah ini bila ada masa terluang.Kadang-kadang saya rasa rimas dengan kerenah nenek ini.

"Buat apa pergi kalau orang dah tak suka." Bisik hati saya semasa nenek nak turun ziarah.

Setelah dia tiada.Saya mencuba meneruskan cara ziarahnya. Dan saya mengerti akhirnya apa ada hikmah disebalik ziarah ini.Terlalu banyak. Tetapi yang saya nak kongsi ialah berdasarkan apa yang saya rasakan.

Saya sendiri tak mampu berziarah ke tempat yang jauh-jauh. Cukuplah saya menjadi penziarah kampung sendiri sahaja.

Saya ziarah :

1) Ibu
2) Orang tua-tua kampung
3) Orang sakit
4) Orang miskin
5) Jiran tetangga
6) Ahli keluarga, sepupu sepapat
7) Masjid/surau/kubur

Apa yang saya perolehi setelah berziarah ialah:

1. Selepas ziarah hati yang susah kerana memikirkan masalah ekonomi akan hilang. Hati akan jadi tenang bila melihat ada orang yang lebih susah dan derita lagi daripada kita.

2. Hidup bertambah ceria dangan kasih sayang daripada orang yang kita ziarahi.

3. Pemandangan menjadi luas. Pemikiran menjadi lapang.

4. Rasa gembira dan bahagia.

5. Murah rezeki.

Masih ingat nasihat arwah nenek.

"Rajin berziarah murah rezeki dan bertambah kasih sayang"                                                                             


Tiada ulasan: