Halaman

Ahad, 17 April 2011

Berziarahlah dan pelajarilah juga erti kehidupan......

Baru-baru saya berbasikal menjalankan projek ziarah saya.Bersendirian.Isteri sibuk.Ajak anak pun masing-masing malas.Cuti sekolah mereka memang rehat sungguh-sungguh.
4 buah rumah saya ziarahi.Rumah pertama saya ziarah ialah rumah seorang tua yang memang lama dah saya kenali.Sesampainya di rumahnya, dia mengisahkan bahawa dia baru keluar dari hospital.Sakit kaki.Tak boleh berjalan.Setelah menerima rawatan di sebuah klinik swasta kini dia semakin pulih.
Macam biasa saya minta dia mendoakan untuk saya sambil membacakan apa-apa yang patut di kepala saya.Dia menitiskan air mata semasa kami sama-sama berdoa untuk kesejahteraan masing-masing.
Setelah itu saya berbasikal menuju ke rumah seorang pak imam yang sudah uzur.Dia hanya terbaring di atas katil.Tetapi masih boleh berbicara.Isterinya mengatakan sudah 2 tahun dia terlantar.Tetapi tiada siapa yang sudi untuk menziarahinya.
Memang benar kata arwah saya dulu.Orang tua dan orang sakit memang ramai orang tak suka nak rapat.
Tapi saya hairan kenapa orang yang berjasa di dalam masyarakat dipinggirkan begitu sahaja.Ah..... itu sekadar ujian tuhan kepada dirinya dan masyarakat.Kita tak layak menafsirkan.
Kemudian saya meneruskan perjalanan menziarahi seorang pemuda yang dalam lingkungan 30an.Dia menderita sakit kencing manis.Kakinya berbalut.Menurut kata kawan saya, mungkin kakinya akan dipotong.Pemuda itu berkata dia tak pernah menjangka terkena
penyakit itu.Hanya tahu setelah pergi ke hospital.
Terfikir di hati saya.Penyakit sudah tidak mengenal usia.Penyakit perlu diawasi sebelum menimpa diri kita.Bila sedar segalanya sudah hampir terlambat.
Sebuah rumah lagi yang saya ziarahi ialah rumah yang didiami oleh seorang ibu tua yang lumpuh.Sampai di rumah itu, saya di sambut oleh anaknya.Menurut anaknya dia mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya.Untuk menjaga ibunya.
Alhamdulillah masih ada lagi insan yang sanggup meninggalkan kesenangan semata-mata untuk menjaga ibu yang uzur di kampung.Tetapi masih ramai orang yang sanggup meninggalkan ibu bapa yang uzur,miskin dan kesunyian.Kerana mengejar kemewahan, kesenangan dan ketenangan.
Berziarahlah dan pelajarilah juga erti kehidupan......