Halaman

Khamis, 12 Ogos 2010

Sedekah kain pelikat

Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Ramai orang mengetahui hal tersebut. Tetapi bukan semua orang mampu memberi. Bukan semua orang ada kemampuan untuk menjadi orang yang dermawan. Bukan semua orang boleh bersedekah. Hanya orang yang dipilih dan ditentukan tuhan sahaja yang boleh melakukan. Dan tak semestinya orang yang kaya sahaja mampu menjadi golongan yang memberi.

Begitu juga pihak yang menerima. Bukan semestinya mereka golongan yang rendah atau hina. Mereka hanya insan biasa yang tidak berkemampuan tetapi terpaksa menerima. Sekadar memenuhi hajat keperluan diri. Mereka tetap mulia sekiranya memandang segala rezeki itu sebenarnya daripada Ilahi. Cuma tuhan mendorong rezeki itu daripada tangan-tangan manusia yang berhati mulia.

Tetapi siapa yang layak menerima sumbangan rezeki itu. Adakah sumbangan itu bererti sekiranya penerima tidak berhajat atau berkehendak. Layakkah peniaga kain menerima sumbangan sedekah berbentuk kain juga. Layakkah seorang yang cukup makan setiap hari menerima sumbangan makanan yang sepatutnya diterima oleh fakir miskin yang tidak cukup makan.

Teringat saya kisah seorang alim yang tidak mahu menerima sedekah daripada orang ramai. Bila ditanya kepadanya, mengapa tidak mahu menerima sedekah tersebut. Jawapnya,"Aku orang yang kaya, kerana aku ada tanah, makan sehari-harian cukup dan aku tidak ada tanggungan(anak).Yang layak aku terima hanya hadiah." Jelas disini orang alim tersebut tidak mahu menerima sesuatu yang bukan haknya. Iaitu sedekah itu hak orang fakir miskin atau orang yang selayaknya.

Tapi pernahkah kita terfikir bahawa pertolongan itu hanya amat bererti kepada orang yang sangat-sangat memerlukan. Tidak ada maknanya memberi kepada orang yang tidak begitu menghargai sedekah atau pemberian tersebut. Amat menyedihkan pula jika memberi kepada orang yang sombong atau angkuh.Walaupun dia adalah orang yang layak menerima. Akhirnya pemberian tersebut tiada maknanya.Bagai meletakkan mahkota di kaki kera.

Kali ini saya akan membawa beberapa kisah yang menarik berkaitan sedekah jariah.Baru-baru ini seorang hamba Allah tiba-tiba meminta saya mengagihkan sedikit kain-kain pelikat kepada orang yang layak menerimanya.Sememangnya bagi saya ini adalah tanggungjawap yang amat berat.Takut tersilap bagi.Tapi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membantunya.Kerana saya sendiri tidak mampu bersedekah sepertinya buat masa ini.Saya saya pun turun ke kampung mencari bebarapa orang miskin yang saya rasa layak menerimanya. Tengok rumah mereka.Nilai keadaan diri mereka atau mendengar kisah-kisah disebalik kehidupan mereka.

Pada mulanya si penderma yang baik hati menyerahkan kepada saya 2o helai kain pelikat untuk diagihkan.Di bawah ini adalah gambar sebahagian kain-kain tersebut.



Maka bergeraklah saya samada berbasikal atau bermotorsikal.Mencari orang yang layak menerimanya.Usaha tersebut saya lakukan beberapa hari.Ternyata banyak perkara-perkara yang menarik dan istimewa telah saya temui.Rupanya ramai orang yang layak menerimanya.Ramai orang miskin.20 helai kain tersebut selesai saya agihkan.Si penderma menyerahkan kepada saya lagi 10 helai lagi.Hanya 3 hari sahaja kain-kain itu selesai saya agihkan.

Apakah perkara yang istimewa yang telah saya temui?Ohhh....banyak.Antaranya:

1. Saya menemui seorang ibu tua yang tinggal bersama anak lelakinya di sebuah rumah yang usang.Jalan menuju rumahnya pun amat semak.Anak lelakinya menghadapi masalah mental.Sudah beberapa tahun tidak bekerja dan hanya berdiam dirumah serta berulang ke masjid sahaja.Setelah saya selidiki dia menjadi begitu kerana putus cinta.Ketika saya menemuinya dia banyak diam sahaja.Ibunya itu hanya bekerja mengambil upah mencuci masjid dan hampir-hampir mereka tiada pencarian rezeki yang tetap.Anak-anak yang lain pun susah juga.Bahkan ibu tua tersebut ada mengatakan bahawa anak yang lain selalu meminta wang daripada mereka.

2. Saya pergi kesebuah rumah yang agak kecil tetapi tinggi di satu jalan.Rumah itu menarik kerana kedudukannya agak senget.Sampai di rumah tersebut saya disambut oleh seorang lelaki dalam lingkungan 40 lebih.Dia mengalami masalah kecerdasan pemikiran.Agak rendah diri.Dia tidak berkahwin dan bekerja tetap.Keluasan rumahnya lebih kurang 10 kaki kali 10 kaki.Tapi dia masih sanggup menerima anak saudaranya untuk tinggal bersamanya.Anak saudaranya juga tidak berkahwin dan tidak mempunyai rumah.Walau pun susah tetapi masih membantu orang lain pula.

3. Saya menemui sepasang suami isteri yang saya anggap amat istimewa.Si suami bisu dan pekak.Manakala isteri mengalami masalah penglihatan.Matanya kabur hampir buta.Kedua suami isteri itu tidak mempunyai anak.Mereka tiada pekerjaan.Rumah yang mereka diami itu pun rumah saudara mereka yang bersimpati kepada mereka.Saya pun tak tahu bagaimana mereka memperoleh belanja untuk makan minum.Siapa yang menyara mereka?Sesuatu yang anih ialah Persatuan Buddha ada membantu mereka setiap tahun.

4. Seorang lelaki tinggal di bawah rumah.Rumah tersebut tidak berpenghuni.Tuan rumah tersebut telah meninggal dunia.Anak cucu tuan rumah tersebut pun tidak berani tinggal di rumah tersebut.Dengar cerita berhantu.Di bawah rumah tersebut ada sebuah kedai makan.Diusahai oleh seorang perempuan dari Thailand yang berkahwin dengan orang tempatan.Mereka tinggal di kedai tersebut.Tetapi lelaki malang tersebut hanya tidur di atas meja dengan berlapikkan sehelai toto.Perempuan tadilah yang menyara makan minum lelaki itu.Dia sudah tua dan tidak mampu bekerja.

5. Saya menemui seorang lelaki tua yang terbaring di dalam bilik disebuah rumah.Dia banyak diam dan kadangkala bangun duduk atau berjalan.Dia melalui suasana hidup yang agak unik.Hampir 26 tahun dia menghabiskan masa hanya di dalam biliknya.Yang menyara makan minumnya hanya isteri dan anak-anak.Baru-baru ini dia keluar seketika bercampur masyarakat.Kini dia menyambung kembali hidup di dalam biliknya.Entah sampai bila lagi.

Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah unik yang telah saya temui.Kalau ada rezeki insya allah saya akan paparkan.Apa yang perlu kita ingat ialah nasib kita terlalu beruntung.Kalau kita miskin, masih ramai lagi orang yang lebih miskin.Kebanyakan mereka mengalami masalah kesihatan mental atau fizikal.Bagaimana mereka nak mendapatkan rezeki?Makan dan minum?Hanya tuhan saja yang tahu apa yang ada di dalam hati mereka.Oleh itu sebagai manusia yang prihatin.Marilah kita membantu mereka yang memerlukannya.Wallahu`aklam.

2 ulasan:

TabuanMas berkata...

Dimanakah lokasi kampung yang penuh dgn hal2 yang menarik ini, sekiranya dapat tuan nyatakan. Terima kasih.

Sofi berkata...

Kawasan Parit Buntar dan Bagan serai,Perak.Sama-sama