Berziarah adalah satu aktiviti yang menarik hati saya kebelakangan ini.Bahkan saya berazam untuk melakukan ziarah 1000 buah rumah dalam masa setahun.Orang tua dan orang sakit menjadi keutamaan.Lebih-lebih lagi daripada kalangan ahli keluarga.
Kali ini saya ingin membawa dua kisah yang mudah-mudahan menjadi iktibar untuk kita.Macam biasa saya berziarah dengan berbasikal atau bermotorsikal.
Kisah pertama
Saya ada seorang kawan yang sedang menjaga ibu mertua yang telah sakit tenat di rumahnya.Bagi memudahkan cerita saya namakan kawan saya itu sebagai S.Ibu mertuanya mungkin mengidap sakit kencing manis dan kakinya membusuk dan berulat.
Sebelum jatuh sakit pernah dia berkata kepada S agar mengambil anak angkat perempuan walaupun dari kalangan bangsa asing.Yang akan menjaga S ketika sudah tua.Adalah orang yang boleh mengurus makan minum dan berak kencingnya. S hanya diam saja.Maklumlah kedua-dua anaknya lelaki.Tentu susah sikit.Dia sabar.
Selang beberapa minggu selepas itu ibu mertuanya jatuh sakit.Tidak berupaya bangun dan menguruskan dirinya.Bahkan terpaksa memakai pampers.Anak-anak perempuan mertuanya tidak mahu menjaganya.Begitu juga dengan lelakinya.Mereka menghantar si ibu tadi ke rumahnya.Suaminya pun setuju.Maka di jagalah si mertua tersebut sehingga akhir hayat.
Pernah si ibu itu memegang erat tangan salah seorang anak kesayangannya mengharapkan anaknya menjaganya.Tetapi pelbagai alasan anaknya mengelak untuk menguruskan ibu tersebut.Pernah juga sekali S sengaja membiarkan ipar-iparnya menguruskan ibu mereka tetapi termuntah-muntah pulak jadinya.
Suatu hari saya bersama isteri menziarahi ibu tersebut.Badannya kurus tak bermaya.Isteri saya menyaksikan sendiri keadaan kaki ibu yang membusuk dan berulat.Kami membaca surah Ra`ad dan Yasin.Selang seminggu ibu tersebut meninggal dunia.Di waktu tengahari. S berbincang dengan tukang mandi mayat dan memutuskan mayat perlu dikebumikan petang itu juga.Suami S akur setelah mendengar alasan yang munasabah daripada S.
Lebih menyedihkan ada kalangan anak mertuanya yang tidak pulang langsung menjengah ibu mereka.Bahkan selepas dikebumikan anak-anaknya yang lain sempat menghabiskan masa membeli belah dipasaraya.Mereka tidak membantu membersihkan rumah S.Mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa rasa bersalah.S hanya menerima segalanya dengan hati yang redha.
Kisah Kedua
Mungkin anda masih ingat kisah ziarah saya ke rumah Angah Khalid.Kali ini saya berziarah dengan isteri saya juga.Kami berbasikal.Jarak rumahnya dengan rumah saya pun tak lah jauh sangat.Kalau dulu dia boleh duduk tapi kini hanya berbaring saja.Sampai dipintu rumah isterinya terus menyambut kami.Angah Khalid terbaring dengan air mata berlinangan.Isterinya mesra bercerita dengan kami tentang keadaan suaminya.Angah khalid baru saja dibedah.Salur najisnya membengkak dan berpenyakit.Doktor telah melakukan pembedahan di perutnya bagi memudahkan dia membuang air besar.Bahagian yang sakit telah diberi pancaran laser.Bahagian kulit sekitarnya menjadi hitam.Petugas hospital telah mencuci dan mengosok bahagian tersebut hingga kulitnya terkoyak.Ini amat menyakitkan.
Angah Khalid ada beberapa orang cucu yang masih kecil tetapi petah bercakap.Mereka tinggal di Pahang.Apabila mendengar kisah datuk mereka sakit, cucu-cucu tersebut menjadi terlalu sedih.Mereka mendesak ibu bapa mereka pulang ke kampung.Mereka beria-ia nak menjaga datuk mereka.Mereka amat gelisah dan tak henti-henti berdoa semoga datuk mereka sembuh dari sakit.Bahkan mengamuk-ngamuk nak menjaga datuk mereka.Apakan daya ayah dan ibu mereka tinggal jauh di Pahang.Mereka terpaksa kembali ke Pahang bersama ibu bapa mereka.Dengan rasa sedih yang amat sangat mereka terpaksa meninggalkan datuk mereka yang sedang sakit itu
Apa yang menjadi pengajaran kepada saya betapa anak-anak yang kecil itu begitu bersemangat dan penuh kasih sayang kepada datuk mereka.Mereka merasai derita yang dilalui oleh datuk mereka.Manakala anak-anak mertua S itu pula bagaikan tidak berperasaan terhadap harapan kasih sayang ibu mereka.Tak tahulah bagaimana hancurnya hati ibu tersebut yang membawa sampai ke mati.
Adakah kita dapat merasai hati ibu tua tadi yang membawa perasaan kecewanya hingga ke akhir hayat?
Apakah yang dirasakan oleh cucu-cucu Angah Khalid itu adalah gambaran kasih sayang yang sangat murni yang patut kita contohi?
Yang pasti nasib kita akan datang tidak dapat kita ketahui.Sesuatu yang baik amat perlu kita pupuk di dalam diri dan zuriat kita. Mudah-mudahan menjadi insan yang mengenang budi.Wallahu aklam....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan