Halaman

Jumaat, 23 Julai 2010

Antara dua kisah

Berziarah adalah satu aktiviti yang menarik hati saya kebelakangan ini.Bahkan saya berazam untuk melakukan ziarah 1000 buah rumah dalam masa setahun.Orang tua dan orang sakit menjadi keutamaan.Lebih-lebih lagi daripada kalangan ahli keluarga.

Kali ini saya ingin membawa dua kisah yang mudah-mudahan menjadi iktibar untuk kita.Macam biasa saya berziarah dengan berbasikal atau bermotorsikal.

Kisah pertama

Saya ada seorang kawan yang sedang menjaga ibu mertua yang telah sakit tenat di rumahnya.Bagi memudahkan cerita saya namakan kawan saya itu sebagai S.Ibu mertuanya mungkin mengidap sakit kencing manis dan kakinya membusuk dan berulat.

Sebelum jatuh sakit pernah dia berkata kepada S agar mengambil anak angkat perempuan walaupun dari kalangan bangsa asing.Yang akan menjaga S ketika sudah tua.Adalah orang yang boleh mengurus makan minum dan berak kencingnya. S hanya diam saja.Maklumlah kedua-dua anaknya lelaki.Tentu susah sikit.Dia sabar.

Selang beberapa minggu selepas itu ibu mertuanya jatuh sakit.Tidak berupaya bangun dan menguruskan dirinya.Bahkan terpaksa memakai pampers.Anak-anak perempuan mertuanya tidak mahu menjaganya.Begitu juga dengan lelakinya.Mereka menghantar si ibu tadi ke rumahnya.Suaminya pun setuju.Maka di jagalah si mertua tersebut sehingga akhir hayat.

Pernah si ibu itu memegang erat tangan salah seorang anak kesayangannya mengharapkan anaknya menjaganya.Tetapi pelbagai alasan anaknya mengelak untuk menguruskan ibu tersebut.Pernah juga sekali S sengaja membiarkan ipar-iparnya menguruskan ibu mereka tetapi termuntah-muntah pulak jadinya.

Suatu hari saya bersama isteri menziarahi ibu tersebut.Badannya kurus tak bermaya.Isteri saya menyaksikan sendiri keadaan kaki ibu yang membusuk dan berulat.Kami membaca surah Ra`ad dan Yasin.Selang seminggu ibu tersebut meninggal dunia.Di waktu tengahari. S berbincang dengan tukang mandi mayat dan memutuskan mayat perlu dikebumikan petang itu juga.Suami S akur setelah mendengar alasan yang munasabah daripada S.

Lebih menyedihkan ada kalangan anak mertuanya yang tidak pulang langsung menjengah ibu mereka.Bahkan selepas dikebumikan anak-anaknya yang lain sempat menghabiskan masa membeli belah dipasaraya.Mereka tidak membantu membersihkan rumah S.Mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa rasa bersalah.S hanya menerima segalanya dengan hati yang redha.

Kisah Kedua

Mungkin anda masih ingat kisah ziarah saya ke rumah Angah Khalid.Kali ini saya berziarah dengan isteri saya juga.Kami berbasikal.Jarak rumahnya dengan rumah saya pun tak lah jauh sangat.Kalau dulu dia boleh duduk tapi kini hanya berbaring saja.Sampai dipintu rumah isterinya terus menyambut kami.Angah Khalid terbaring dengan air mata berlinangan.Isterinya mesra bercerita dengan kami tentang keadaan suaminya.Angah khalid baru saja dibedah.Salur najisnya membengkak dan berpenyakit.Doktor telah melakukan pembedahan di perutnya bagi memudahkan dia membuang air besar.Bahagian yang sakit telah diberi pancaran laser.Bahagian kulit sekitarnya menjadi hitam.Petugas hospital telah mencuci dan mengosok bahagian tersebut hingga kulitnya terkoyak.Ini amat menyakitkan.

Angah Khalid ada beberapa orang cucu yang masih kecil tetapi petah bercakap.Mereka tinggal di Pahang.Apabila mendengar kisah datuk mereka sakit, cucu-cucu tersebut menjadi terlalu sedih.Mereka mendesak ibu bapa mereka pulang ke kampung.Mereka beria-ia nak menjaga datuk mereka.Mereka amat gelisah dan tak henti-henti berdoa semoga datuk mereka sembuh dari sakit.Bahkan mengamuk-ngamuk nak menjaga datuk mereka.Apakan daya ayah dan ibu mereka tinggal jauh di Pahang.Mereka terpaksa kembali ke Pahang bersama ibu bapa mereka.Dengan rasa sedih yang amat sangat mereka terpaksa meninggalkan datuk mereka yang sedang sakit itu

Apa yang menjadi pengajaran kepada saya betapa anak-anak yang kecil itu begitu bersemangat dan penuh kasih sayang kepada datuk mereka.Mereka merasai derita yang dilalui oleh datuk mereka.Manakala anak-anak mertua S itu pula bagaikan tidak berperasaan terhadap harapan kasih sayang ibu mereka.Tak tahulah bagaimana hancurnya hati ibu tersebut yang membawa sampai ke mati.

Adakah kita dapat merasai hati ibu tua tadi yang membawa perasaan kecewanya hingga ke akhir hayat?
Apakah yang dirasakan oleh cucu-cucu Angah Khalid itu adalah gambaran kasih sayang yang sangat murni yang patut kita contohi?
Yang pasti nasib kita akan datang tidak dapat kita ketahui.Sesuatu yang baik amat perlu kita pupuk di dalam diri dan zuriat kita. Mudah-mudahan menjadi insan yang mengenang budi.Wallahu aklam....

Khamis, 15 Julai 2010

Ke Parit Hj. Amin.

Hari ini saya tergerak untuk berbasikal ke Parit Hj. Amin.Semalam juga saya telah ke Parit Hj. Amin untuk menziarahi Pak Ngah Nasir yang juga guru saya sendiri.Beliau mengajar saya al quran sejak saya berumur belasan tahun lagi.Sehingga kini hubungan kami terjalin erat.Dan setiap hati Jumaat malam Sabtu saya akan hadir ke kelas muzakarahnya.Ada beberapa orang rakan lagi yang ikut serta.

Pada pukul 6.30 petang saya berkayuh ke parit Hj. Amin.Tujuan saya kali ini adalah untuk menziarahi seorang kawan.Yang saya tak berapa cam orangnya.Cuma seorang kawan mengatakan bahawa orang itu memang saya kenal. Namanya Mat Seria.

Sampai di Parit Hj. Amin saya hilang arah.Kerana tidak tahu di mana rumah Mat Seria. Ada berberapa orang anak muda berkumpul di tepi jalan.Saya menyapa mereka.
"Di mana rumah Din Seria, drebar lori?" Saya tersilap sebut.Nama Mat kepada Din.Mereka telah menunjukkan kepada saya rumah Din dreba lori.

Rumah tu saya tahu.Rumah anak buah saya juga. Saya terus menuju kerumah Din.Tetapi sampai dihadapan rumahnya saya terus membelok ke rumah di hadapan rumah Din.Di rumah ini ada seorang tua yang sedang menderita sakit lumpuh.Sampai di rumah tersebut saya terus memberi salam. Anaknya menyambut salam. Mempersilakan saya masuk. Dan terus membawa saya ke ruang ayahnya ditempatkan. Orang tuanya mengerikut duduk di atas kerusi malas. Ditangannya ada sebiji gelas. Air liurnya melilih dan memasuki gelas tersebut. Saya terharu melihat keadaan tersebut.

Setelah selesai berbicara sedikit sebanyak dengan anaknya saya pun berlalu pergi. Di luar, Din, anak buah saya sedang menanti. Dia terus membawa dan menunjukkan rumah Mat Seria. Tetapi dia tidak turut serta mengiringi saya berziarah.

Sampai dirumah Mat Seria, saya terus memberi salam. Isterinya menyambut salam. Mat Seria ditempatkan di dalam bilik yang agak gelap. Lampu pun tak dipasang. Suasana cukup hening. Wajahnya amat muram dan sedih. Dia masih mengenali saya. Tapi tidak berupaya berbicara dengan saya. Setelah beberapa ketika saya dan selesai berdoa saya pun berlalu pergi.

Selepas meninggalkan rumah Mat Seria saya kembali berkayuh dan saya terus ke rumah seorang yang saya kenali sebagai Hj Yusuf. Anaknya, Imi menyambut saya dan terus membawa saya ke tingkat atas rumah untuk bertemu dengan bapanya.Hj Yusuf ceria walaupun dia juga mengidap penyakit lumpuh. Dia mampu tersenyum walaupun tidak boleh berbicara. Saya duduk disisinya dan jelas saya lihat suasana tempat pembaringannya bersih dan kemas. Dia sendiri berkeadaan agak kemas dan bersih. Wajahnya sentiasa memaparkan senyuman.Saya sempat bergurau senda dengannya.Selesai berdoa saya pun mengundurkan diri. Beberapa nasihat berkaitan kelebihan berziarah saya sampaikan kepada Imi.

Apa yang menjadi pengajaran kepada saya ialah rupanya keadaan seseorang yang sakit pun berbeza-beza. Ada orang sakit keadaannya amat menyedihkan serta agak suram. Ada juga keadaan orang yang sakit kelihatan agak mengembirakan serta meriangkan. Adakah keadaan ini menggambarkan sikap atau cara ahli keluarganya melayannya. Atau ada satu-satu amalan yang dibawanya. Wallahu a`klam. Yang pasti jika kita melaluinya kita sendiri mungkin memahaminya....

Rabu, 14 Julai 2010

Terkilan


Sesuata yang terjadi pasti ada kekesalan.Selalunya kejadian yang buruk.Jarang orang nak menyesal bila beroleh kesukaan atau kebahagiaan.Orang akan bergembira dan riang bila beroleh sesuatu yang dia impikan selama ini.Orang akan ketawa ria bila mendapat kesenangan atau habuan yang baik.Adakah adil menolak kedukaan menyanjung kesukaan.Berlari jauh dari kesakitan menyerbu keenakan.Seperti kata seorang rakan saya."Kalau menerima kesenangan habis kesusahan siapa nak ambil".
Yang pasti manusia akan memburu dan mencari kesenangan,kebahagian dan keenakan.
Manusia hanya mampu merancang tuhan yang menentukan.Beribu impian dalam kotak fikiran.Banyak yang tidak diimpikan pula yang menjadi kenyataan.Adilnya tuhan kerana dia yang menentu kehendak dan keadaan kita.Cuma kita yang gagal mengerti nikmat pemberianNYA.Mengharap kepada sesuatu yang kita rasakan.Bukan atas dasar kenyataan atau upaya diri.Tapi apa yang tuhan taqdirkan itu ada kenyataan yang lebih patut kita syukuri.
Kali ini saya nak bercerita rasa terkilan saya terhadap 2 orang rakan yang saya tidak dapat saya temui lagi di dunia ini.Seorang lelaki dan seorang perempuan.
Yang lelaki ini saya namakan sebagai S.Dia adalah rakan rapat saya sejak dari kecil lagi.Umurnya hanya setahun lebih tua daripada saya.Kami sama-sama berkubang di parit dan menangkap ikan di sawah.Dia seorang India Muslim.Ibu bapanya keturunan India yang memeluk agama Islam.Selepas SPM dia merantau dan bekerja di merata-rata tempat.Ada orang kata dia jadi mata-mata gelap,body guard dll.Yang nyata tubuhnya memang gempal sejak kecil lagi.Sesuai untuk kerja-kerja tadi.
Manakala saya belajar di merata-rata tempat dan setelah berkahwin kembali menetap di kampung halaman.
Akhirnya dia kembali ke kampung dan menetap di rumah ibunya.Dia seorang yang rajin berusaha.Dia berniaga macam-macam.Usaha terakhir sekali ialah memajak sawah bendang orang untuk diusahakan.
Dia tahu saya mengusahakan kelas fardhu ain dan al quran.Dia banyak memberi sumbangan berupa kitab al quran, iqrak, sejadah dll.Dia tak lokek bersedekah untuk kelas saya.
Walaupun dia jenis kasar dan agak egois tetapi dia tidak mudah sensitif.Dia tetap setia berkawan dengan saya walaupun kami kerap bertengkar atau barjauh hati.
Pernah juga saya mengajak dia turut serta di dalam kelas saya.Membaca al quran dan bersolat sama-sama.Dia mengiyakan dan mengatakan insya allah setelah dia berkahwin.Dia akan memasuki kelas bersama isterinya sekali.
Sebenarnya dia belum berkawin semasa kematiannya.Dia memang merancang untuk kahwin.Banyak kali dia mengusahakan tapi tidak berhasil.Beberapa hari sebelum meninggal dunia saya bertemu di rumah jiran saya(jiran dia juga)Selepas itu dia mengajak saya pergi ke kedai kopi sambil berbual.Saya mengadu kepada dia yang saya sakit gigi.Dia sibuk mengambil ubat di rumahnya untuk diberikan kepada saya.
Selang beberapa hari selepas itu,pada pukul 2 subuh seorang kawan di Parit Buntar mengkhabarkan bahawa S sudah meninggal dunia di Kampung Sg Kecil.Dinyatakan bahawa dia diserang penyakit jantung.Tujuannya kesana kerana ingin mengurut badan.
Esok harinya setelah mayatnya diselenggara di hospital(kerana waris2nya berjauhan dan sibuk),pukul 2.30 petang baru saya berkesempatan menziarahi mayatnya.
Sesungguhnya saya terkilan kerana:
1. Tidak dapat melakukan solat jenazah secara berdepan terhadap dia.(Saya ada kelas di Sg Dungun dan saya serta ahli kelas hanya melakukan solat jenazah secara ghaib)
2. Janjinya nak membaca al quran bersama saya tidak kesampaian.

Tuhan lebih sayangkan dia.Dia pergi untuk selama-lamanya.Bersama seribu impian yang hebat.Mudahan rohnya diampun dan dirahmati Allah

Seorang lagi kawan yang saya rasa terkilan atas kehilangannya saya namakan sebagai M.Sebenarnya hampir 20 tahun saya tidak menemuinya.Saya mengenalinya semasa ayah saya membuka kedai makan di pekan batu 5.Kebetulan ayahnya adalah rakan rapat ayah saya.Semasa tu kami masih remaja.Kerap bergurau dan beramah tamah.
Sebenarnya saya telah mengetahui dia menderita mengidap penyakit barah payudara.Salah seorang kerabatnya telah mengkhabarkan.
Setelah mengetahui keadaannya maka saya beserta anak dan anak saudara berbasikal ke Prt Hj.Amin.Namun ketika sampai disitu suasana telah berubah.Maklumlah sudah lama saya tidak kesana dan banyak perubahan di kawasan tersebut.Rumah orang tuanya sudah saya tidak cam.Saya pulak tak tergerak nak bertanya kepada orang yang berada dipinggir jalan.Tak tergerak langsung.Hari pun dah dekat pukul 7.00 malam.Rasa kurang selesa timbul.Maklumlah takut berbasikal sampai ke malam.Tambah bawa anak dan anak saudara pula.Lampu tak bawa.Kami terus berpatah balik dan singgah di rumah rakan saya yang lain.
Yang membuat saya terkilan ialah seminggu lebih kurang selepas itu rupanya dia telah kembali ke rahmatullah.Saya juga terkilan kerana tidak dapat melihat wajahnya selepas 20 tahun tidak bertemu dengannya walau pun jarak rumahnya dengan saya tidak berapa jauh.Dengar khabar dia meninggalkan 3 orang anak yang masih kecil.Menjadi cabaran yang hebat untuk suaminya.Apa pun yang nyata kita tidak dapat lari dari panggilan Ilahi.Sampai masanya akan pergi jua dan takkan kembali.Mudah-mudahan roh M mendapat kedamaian yang abadi.Aminnnn....

Mereka telah pergi
Kita bila lagi
Pergi tak kembali
Meninggalkan seribu kenangan
Seribu harapan

Kita di sini
Menanti saat pergi
Apakah hampir
Atau jauh lagi

Apa yang pasti
Setiap yang bernyawa
Akan mati

Bagaimana rasanya mati
Yang mati tak pernah memberitahu
Yang ditinggalkan terasa pedih dihati

Selamat Untuk rakan taulanku
S dan M
Mudahan diampun dan dirahmati Ilahi
Aminnnnnn


Disinilah disemadikan dua rakanku.Tanah perkuburan Masjid Batu Lima, Jalan Baharu, Parit Buntar, Perak. Wallahu aklam



Ini dalah makam ayahandaku yang sengaja tidak diletakkan batu nesan bagi memberi peluang kepada orang lain dapat sama menggunakan tanah perkuburan ini