Terlalu banyak kisah yang menarik di sekeliling kita.Antara sedar tak sedar, sebenarnya semua orang mempunyai kisah yang menarik.Sebab itu saya suka melakarkan apa-apa kisah yang berlaku pada diri saya atau orang lain dibloq ini.Mungkin akan menjadi panduan atau sempadan kepada sesiapa yang membacanya.Mungkin juga satu masa nanti jika saya membacanya, saya akan mengimbas kembali kisah-kisah tersebut. Menjadi kenangan yang indah.Atau mungkin terindah.....entah lah.
Kali ini saya akan berkongsi sebuah kisah yang saya perolehi dari seorang perempuan tua yang saya temui selepas kelas saya selesai.Setiap minggu saya mengadakan sebuah kelas pengajian Al Quran dan Fardhu Ain di sebuah kampung.
Kembali kepada kisah perempuan tua tadi.Dia menceritakan kepada saya betapa dia terlalu bersedih dengan keadaan anak cucunya.Akhlak dan budi bahasa mereka begitu mengecewakan hati ibu tua ini.Mereka tidak menjaga aurat dan pergaulan.Mereka meninggalkan adab dan akhlak budaya orang Melayu.Mereka menjauhkan agama dan bergaul bebas. Walaupun mereka tinggal di kawasan kampung yang agak mengambil berat berkaitan akhlak dan tingkah laku yang baik.
Ibu tua ini semakin kecewa bila nasihat dan tunjuk ajarnya dibalas dengan makian oleh anak, menantu dan cucu-cucunya.Solat dijauhkan pergaulan bebas menjadi amalan.Bahkan cucunya yang perempuan kerap pulang ke rumah hampir waktu subuh.Tak siapa yang melarang. Berbuih mulutnya menasihat.Sakit hatinya.
Dia amat berharap anak cucunya kembali mengamalkan hidup yang lebih Islamik.Atau pun sekurang-kurangnya sederhana dan sesuai dengan masyarakat kampung.Dia benar-benar mengharap anak cucunya bertaubat.
Hanya doa dan harapan yang dipanjatkan kepada tuhan.Setiap hari dia berdoa.Mudah-mudahan anak cucunya sedar dan insaf.Meninggalkan segala bentuk akhlak peribadi yang tidak baik.Kembali solat dan membaca Al quran.Berakhlak mulia.
Semasa menceritakan perkara tersebut kepada saya, dia menangis dan sebak.Dia takut dengan keadaan anak cucunya itu yang menjauhi nilai-nilai agama.Takut terjadi sesuatu yang tak diingini.Takut tuhan turunkan bala kepada mereka.
Walaupun umurnya sudah menjangkau hampir 70 tahun tetapi dia seorang ibu yang tabah.Masih mahu belajar dan kuat beramal.Banyak kelas pengajian di masjid dan surau yang diikutinya.Dia tetap mahu belajar dan menguatkan amal ibadah.Kerana dia sedar...satu masa kita pasti akan dijemputnya.Dia mahu bersedia menghadapinya.
Tapi apa daya.Suaranya tak mampu mengubah anak cucunya.Hanya rintihan dan tangisan dihadapkan kepada tuhan.
Saya hanya mampu menyabarkannya.Mudah-mudahan ibu itu sabar melaluinya.Sememangnya cabaran akan muncul disekeliling kita.Mungkin dari anak dan cucu.Atau dari ibu,ayah dan saudara.Boleh jadi kita sendiri sukar menerima diri kita yang mungkin teruji dengan cabaran pula.
"Sabarlah wahai ibu... mohonlah doa kepada Allah selalu.Insya Allah tuhan akan memakbulkan doa kita.Tak hari ini esok.Nanti kan waktunya."
Kisah ibu ini sebahagian kisah-kisah yang tersembunyi di dalam masyarakat kita.Penderitaan batin ibu seperti ini hanya tersimpan di hati mereka.Tak kuasa untuk mengubahnya.Tapi.....tuhan tetap ada.Dia Maha Adil lagi bijaksana.
Segala puji bagi Allah